kelubee - crystallized honey

Madu Kelulut Berkristal. Asli atau Tidak?

Mitos dan kepercayaan terhadap madu memang banyak. Mitos ini berkembang dan menjadi kepercayaan apabila idea atau maklumat tersebut diulang-ulang. Lama-kelamaan ia diterima pakai dan menjadi sandaran hujah (walaupun tidak betul).

Salah satu mitos yang kerap kali diperkatakan terhadap madu ialah madu asli tidak akan membentuk mendakan atau berkristal. Apabila terdapat mendakan kristal, ramai percaya madu tersebut bukan madu asli. Ia madu tiruan atau madu campuran (adulterated honey). Ramai pengguna jadi keliru. Kenapa dan bagaimana madu asli membentuk kristal?

Secara semulajadinya, madu merupakan cairan yang mengandungi kandungan gula (karbohidrat) yang amat tinggi (saturated solution). Madu kelulut mempunyai kandungan gula melebihi 50% (kadangkala mencecah 70%). Komposisi ini juga bergantung kepada banyak faktor.Larutan tepu madu (iaitu keadaan air tidak lagi dapat melarutkan gula) ini akan cuba menjadi seimbang melalui proses yang dipanggil pengkristalan gula (gula di’asingkan” dari larutan).

Komponen utama dan penting gula di dalam madu kelulut ialah gula fruktosa dan glukosa. Ratio di antara gula fruktosa dan glukosa perlu sekata. (Madu kelulut biasanya mempunyai kandungan fruktosa sekitar 17 g/100g dan glukosa 14 g/100g). Gula glukosa pula merupakan bahan yang rendah keupayaan untuk larut di dalam air berbanding gula fruktosa.

Gula glukosa lah yang membentuk kristal. Ia terjadi apabila glukosa terpisah daripada cairan madu untuk mencapai kestabilan, dan kristal glukosa terbentuk sebagai mendakan.Proses ini berlaku secara semula jadi. Ada beberapa faktor yang mempengaruhi proses kristal ini berlaku. Antaranya suhu dan kelembapan (Relative humidity).

Kesimpulannya, jangan panik (termasuk membuang madu) apabila terdapat mendakan kristal di dalam madu!

Kredit Asal : Man Che Me Trigona

kelubee - sedut madu

Madu Kelulut Mahal?

KELULUNOMIC 2 : MADU KELULUT MAHAL?

Seolah menjadi trend pengguna berpendapat bahawa madu kelulut yang dijual dipasaran mahal. Hakikatnya persepsi itu terbentuk seiring dengan tanggapan bahawa madu lebah kelulut adalah produk kampung. Sedangkan madu kelulut kini adalah bahan semulajadi terbaik yang menjadi SUPERFOOD pertama di Malaysia. Semakin banyak kajian kini menunjukkan madu ini mampu mencegah penyakit kronik seperti darah tinggi, kanser, strok dan kencing manis. Malah turut berpotensi mencegah selsema, meningkatkan ingatan serta melambatkan penuaan.

Mengikut kiraan penyelidik Honeygold Laboratory, kos untuk pengeluaran madu kelulut perkilogram adalah RM180 sekilogram. Kos-kos ini melibatkan kos pembelian koloni, pemasangan toping dan hive, penyelenggaraan dan pencegahan kecurian sarang, tanaman pokok bunga, alat tuaian, pembotolan, upah tuaian dan kos overhead lain. Jadi mengambil kira keuntungan dan limitasi pengeluaran antara bulan Mac sehingga September sahaja setiap tahun serta kos pemasaran, anggaran harga jualan purata madu kelulut di Malaysia sekitar RM300-RM350 sekilogram adalah relevan. Jangan sesekali membandingkan madu lebah kelulut dengan madu lebah ternak  biasa yang diberi makan air gula kerana kelulut hanya mengambil nektar semulajadi pada tumbuhan.

Andai dikira kos harian pengguna pula, dos yang diperlukan hanya sekitar 10g (satu sudu) setiap dua hari. Maka sekilogram boleh dianggarkan bertahan sehingga 6 bulan dan semestinya ia telah lengkap untuk nutrient harian melibatkan tenaga, vitamin, minerals, protein dan zat-zat lain. Maka ia sangat berbaloi dengan nilai yang dibelanjakan.

Kalau kita memandang kehadapan, madu adalah antara penawar yang disebut didalam AlQuran. Tetapi kesukaran mendapatkan yang asli menyebabkan kita hilang keyakinan. Kini, madu kelulut asli dihasilkan dengan banyak dan menjadi tanggungjawab kita menyokong usaha penternak agar industri ini terus bertahan untuk bekalan madu asli kepada kita semua.     

Tapi sudah menjadi lumrah, barangan yang natural seperti ulam akan dipandang murah walaupun sebenarnya lebih baik berbanding bahan sintetik yang dibotol dengan baik. Mungkinkah kita terpengaruh dengan iklan untuk berbelanja mahal bagi produk sintetik berbanding bahan asli yang diadun oleh lebah melalui wahyu Allah? Tepuk dada tanya selera…

Kredit asal: HoneyGold Laboratory