kelubee koloni

Penternakan Lebah Kelulut – Mudah dan Berhasil

Kelulut atau lebah kelulut atau nama saintifiknya Trigona spp dikategori sebagai lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu (Apis sp.) Terdapat hampir 500 spesis lebah kelulut di seluruh dunia diantaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan banyak lagi.

Lebah kelulut boleh diternak daripada koloni liar sama seperti lebah madu. Penternakan lebah kelulut digelar sebagai meliponikultur. Kelulut (juga digelar meliponini) boleh didapati di kebanyakan kawasan-kawasan tropika dunia seperti Australia, Afrika, Asia Tenggara dan kawasan Amerika Tropik. Manakala hutan hujan tropika dengan iklim khatulistiwa di Malaysia memberikan kelebihan secara semulajadi kepada lebih 29 spesis Trigona.

Terdapat pelbagai kaedah penternakan kelulut mengikut kesesuaian koloni kelulut serta faktor setempat. Namun kaedah penternakan menggunakan ‘haif topping’ dan ‘kotak haif’ adalah yang paling popular di negara ini.

Kaedah haif topping diaplikasikan dengan memotong tunggul kayu atau batang kayu yang dihuni oleh koloni kelulut secara semulajadi dan diletakkan kotak kayu di atasnya. Kaedah ini sangat sesuai untuk kawasan yang panas kerana koloni kelulut masih berada dalam situasi asal dalam kayu. Bagaimana pun penternak hanya dapat menuai madu sahaja berbanding teknik kotak haif.

Bagi kotak haif pula, pengusaha mampu menuai bukan sahaja madu kelulut malah mampu menuai roti lebah (beebread) serta propolis. Namun kaedah memindahkan koloni dari tunggul kayu ke kotak haif memerlukan kemahiran agar telur dan sarang kelulut tidak rosak semasa proses pemindahan dilakukan.

Lebah kelulut mempunyai khasiat yang lebih baik jika dibandingkan dengan lebah madu. Madu lebah kelulut mampu membekalkan tenaga, merawat luka dan ulser, merawat kerosakan fungsi ginjal, mengurangkan stress oksidatif, membantu menguatkan tulang belakang dan menstabilkan tekanan darah serta glukos dalam darah. Roti lebah kelulut juga mengandungi asid amino yang diperlukan untuk memperkuatkan fungsi hati dan merawat masalah penghadaman.

Lebah kelulut menyimpan madu di dalam tempayan kecil yang dilapisi propolis, yang berfungsi sebagai anti-bakteria, anti-fungus dan anti-virus. Propolis juga dilaporkan mampu mengawal dan menstabilkan penyakit kencing manis, strok, kanser, hipertensi, ginjal dan AIDS jika diamalkan secara berterusan.

Penghasilan madu kelulut banyak berlaku diantara bulan Mac hingga Ogos manakala pada bulan Mac hingga April lebah kelulut giat menghasilkan koloni yang baru. Madu kelulut berwarna coklat gelap dan rasanya masam sedikit jika dibanding dengan madu lebah.

Selain mengeluarkan madu, lebah kelulut juga berperanan penting sebagai agen pendebungaan bagi kebanyakan spesis buah, bunga, sayur dan tanaman lain. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Koperasi Kelulut – Sampugita Kelantan Berhad, pendebungaan yang dilakukan oleh kelulut mampu meningkatkan hampir 40% hasil pertanian. Kini kelulut juga digunakan sebagai agen pendebungaan bagi tanaman melon secara fertigasi di dalam Struktur Perlindung Hujan (SPH).

Hari ini madu kelulut boleh mencapai harga yang sangat tinggi hingga mencecah ke RM 600/kilogram. Pengeluaran madu kelulut bergantung kepada kekuatan koloni. Pengeluaran akan berkurangan pada bulan September hingga Februari kerana ketika ini madu yang dihasilkan akan menjadi sumber makanan kepada anak-anak kelulut dan memperkuatkan koloni.

Seperti juga lebah madu, lebah kelulut tidak mudah rosak serta mempunyai jangka hayat yang panjang. Madu kelulut boleh dijual mentah tanpa melalui sebarang proses. Selain penyediaan haif, tiada penglibatan kos lain kerana kelulut akan mencari sumber makanannya sendiri dari bunga tanaman yang ada di sekelilingnya. Antara bunga tanaman yang digemari adalah bunga belimbing, bunga pokok air mata pengantin, bunga selasih, bunga biden, markisa, bunga pokok jam sepuluh, ulam raja dan lain-lain.

Pemberian makanan gantian seperti rambutan, duku, dokong, longan serta pisang boleh membantu lebah kelulut ketika kekurangan makanan terutama dimusim hujan yang berpanjangan disekitar bulan Oktober hingga Disember. Selain dari itu buah buah betik dan tembikai serta pisang yang cukup ranum, pisang salai serta bunga pisang yang gugur juga merupakan makanan gantian kegemaran kelulut.

Selain penternakan secara komesil, penternakan kelulut atau meliponikultur boleh dijalankan sebagai aktiviti sampingan atau hobi yang mampu menjana pendapatan sampingan. Selain dari itu pemerhatian aktiviti lebah kelulut juga merupakan terapi yang mampu menghilangkan stress kerja. Potensi pasaran yang baik akan dapat menyuntik minat ramai pihak untuk terbabit dalam industri penternakan lebah kelulut walaupun ianya adalah bidang baru dan masih banyak yang perlu diterokai dan dipelajari mengenainya.

Tags: No tags
0

Leave A Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *